Ahad, 2 Disember 2018

WANITA DAN KASUT BERTUMIT TINGGI (HIGH HEELS)


Seperti yang sudah kita ketahui kasut ini merupakan sebahagian daripada penampilan diri dan ciri-ciri yang ada pada seseorang, dengan memakainya ia akan menunjukkan personaliti dan imej diri si pemakainya. Kasut bertumit tinggi ini juga lebih dikenali dengan high heels. Pada zaman sekarang ini, kasut bertumit tinggi (high heels) sudah menjadi satu trend terkini yang normal di kalangan wanita dan juga wanita muslimah. kebanyakannya wanita akan memakai kasut bertumit tinggi tidak kira berada di mana sahaja diantaranya seperti hendak pergi bekerja di pejabat, di jalanan, di pusat membeli belah malahan di kolej serta universiti juga turut sama bergaya dengan kasut tumit tinggi ini.

Ada yang menggunakan kasut yang tumitnya tinggi dan tajam, ada juga yang menggunakan kasut yang bertapak tinggi yang tebal dan bertapak rata. Yang pasti ia adalah kasut yang tumitnya sangat tinggi (melebihi 2 inchi). Kadang-kadang kita mungkin akan terpikir kenapa kebanyakan wanita masih sanggup menggunakan kasut bertumit tinggi ini sedangkan, ia hanya menyakitkan kaki, mengundang ketidakselesaan dan menyukarkan setiap pergerakan. Sebagai wanita muslimah, sangat penting kepada kita untuk mengetahui apa hukumnya menggunakan kasut bertumit tinggi ini di dalam Islam.

Terdapat para ulama’ seperti Sheikh Abdul Aziz bin Baaz dan Sheikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin rahimahumullah berpendapat bahawa menggunakan kasut bertumit tinggi ini tidak boleh dipakai kerana berisiko untuk jatuh dan membahayakan diri.
 
Sebagaimana Firman Allah SWT:

Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah: 195)

Di sini dapat kita memahami bahwa menggunakan kasut bertumit tinggi memiliki risiko terhadap kesihatan dan ia juga mendatangkan banyak kesan negatif. Maka sesuatu yang sifatnya membahayakan diri sendiri itu hukumnya haram. Apabila kita perhatikan, dengan memakai kasut bertumit tinggi akan membuatkan cara berjalan seseorang wanita itu menjadi sedikit berbeza iaitu menjadi lebih berlenggok-lenggok, menonjolkan bentuk pinggul dan tubuh dan juga menjadikan seseorang perempuan itu kelihatan lebih tinggi. Dan disebabkan itu lah Islam menghalang wanita untuk menggunakan kasut bertumit tinggi.

Hal ini juga menyebabkan ia termasuk dalam kategori tabarruj, bermaksud berhias secara berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian orang ramai seperti menonjolkan keindahan tubuh wanita. Ini dilihat sebagai sesuatu yang menampakkan kecantikan diri dan bercanggah daripada ajaran dimana wanita hanya boleh menampakkan kecantikannya pada orang yang mahram atau orang orang yang dibenarkan syara’ sahaja. Tambahan pula, menggunakan kasut bertumit tinggi ini adalah salah satu budaya atau kebiasaan perempuan Yahudi dan Nasrani. Mereka menggunakan kasut tersebut bagi menampakkan kecantikan mereka dan memikat pandangan lelaki.

Oleh sebab itu, sebaiknya wanita muslimah hendaklah menjaga dirinya dari hal-hal meniru (tasyabbuh) orang-orang kafir dan jahiliyah. Ia akan mendatangkan kerugian, kerana hanya sepasang kasut itu mampu menjerumuskan diri wanita ke api neraka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan